Pelajar, ibu bapa mangsa buli diminta tampil buat laporan polis
KUALA LUMPUR: Polis meminta pelajar serta ibu bapa mangsa buli tampil membuat laporan polis berhubung penyebaran dua klip video kes buli di media sosial membabitkan pelajar di sekolah berasrama.
Penolong Ketua Urus Setia (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata penyebaran klip video itu menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa dan pelajar sekolah.
"Polis menyeru orang ramai, terutama ibu bapa yang mengetahui anak mereka menjadi mangsa buli menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kerjasama orang ramai amat diperlukan agar polis dapat mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Asmawati berkata sehingga ini tiada maklumat diperoleh pihaknya mengenai lokasi serta individu yang terbabit.
Beliau berkata dakwaan menyatakan satu daripada kes buli berkenaan berlaku di Kuala Nerang, Kedah juga adalah tidak benar.
Sejak kelmarin, pelbagai video buli membabitkan pelajar sekolah berasrama mula tersebar di media sosial sehingga menimbulkan rasa marah, tidak tenteram dan kurang senang dalam kalangan masyarakat.
sumber: berita harian online
0 Komentar untuk "Pelajar, ibu bapa mangsa buli diminta tampil buat laporan polis"